Header Ads

header ad

Majlis menandatangani MoU "Dr Najmil Faiz, Ikon Inspirasi Kejayaan SKPBB"

Majlis menandatangani MoU "Dr Najmil, Ikon Inspirasi Kejayaan SKPBB" antara Dato' Dr Najmil dan Guru Besar.
Hari ini dalam sejarah bagi Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar (SKPBB) apabila satu majlis menandatangani MoU "Dr Najmil, IKON INSPIRASI KEJAYAAN SKPBB" bersama YBhg. Dato' Dr Najmil Faiz bin Mohamed Aris di Dewan SKPBB pada Khamis.

Program Pecutan Akhir UPSR dan Majlis Tandatangan MoU bersama YBhg Dato' Dr Najmil Faiz b. Mohamed Aris, Ketua Pengarah Seranta FELCRA Berhad yang dihadiri guru-guru dan murid-murid tahun 5 dan 6 SKPBB itu telah banyak memberi banyak inspirasi terhadap murid dalam memacu kecemerlangan dalam pendidikan.

Majlis dimulai dengan bacaan doa oleh al-Fadhil Ustaz Wan Tarmizi sebelum ucapan aluan daripada Guru Besar, Encik Mohd Jaafar bin Taib.

Kemudian, slot Motivasi Pecutan Akhir UPSR bersama idola yang disampaikan oleh ikon SKPBB, YBhg. Dato Dr Najmil Faiz kepada murid-murid yang bakal menghadapi peperiksaan tidak lama lagi.

"(Kita) mampu berjaya seperti orang lain, boleh dok ni?," kata Dr Najmil sebagai cabaran kepada murid-murid SKPBB, semalam.

Antara nasihat lain yang diberikan Dr Najmil dalam ceramah motovasi beliau bagi menempa kejayaan cemerlang dalam pelajaran:
  • Guna semua otak kita
  • Bila belajar, guna semua deria
  • Kita mesti belajar secara aktif
  • Kita mesti belajar 8 jam sehari
  • Kita belajar dalam keadaan yang cerah
  • Guna kata-kata semangat
  • Belajar dalam keadaan selesa dan menghadap kiblat
  • Jangan ponteng kelas

Dr Najmil, anak muda Melayu berjaya

Dr Najmil Faiz merupakan anak muda Melayu berjiwa kental yang melakukan pengorbanan berhempas pulas bekerja keras mencuci bangunan dan mengangkat barang demi mencari wang untuk membiayai pelajaran dan survival di negara orang sehingga berjaya melakar sejarah merangkul anugerah "The Best Research of Good Prospect (2005) selepas membentangkan hasil kajian beliau kepada anggota Parlimen United Kingdom di London.

Bermula di peringkat diploma di Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO), di Batu Pahat dan pada tahun 2000 beliau melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda kejuruteraan dan seterusnya ke peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) di Universiti Metropolitan di Leeds.

Seterusnya beliau mencipta sejarah pelajar Malaysia yang pertama diberi penghormatan dan pengiktirafan untuk membentangkan kajian beliau "Micro Machine Process" kepada anggota Parlimen UK di London dan memenangi anugerah "The Best Research of Good Prospect (2005)". Beliau membentangkan kajian mengenai Proses Mikro dan Kejuruteraan Nano selama 15 minit. Najmil tidak menghampakan apabila anggota Parlimen yang hadir bukan sahaja amat berminat dengan ideanya tetapi juga memberikan galakan kepadanya untuk meneruskan kajian beliau yang membabitkan "Nano" dan "Micro Machine Process".

Najmil yang terpilih sebagai antara pelajar Asia paling cemerlang, berjaya membuka mata industri United Kingdom terhadap kebolehan rakyat menerusi inovasi yang dihasilkan. Menurut Najmil, kajiannya berkaitan teknologi mengurangkan geseran yang mampu mengurangkan kos serta meningkatkan keefisienan dalam industri dan sektor pembuatan.

Katanya pengurangan geseran akan membantu meminimumkan kehausan terhadap peralatan yang digunakan dalam sektor perkilangan. Kajian beliau amat diminati pengilang kerana ia dapat menjimatkan kos operasi berbilion ringgit dan masa, meningkatkan kadar hayat mesin dan gear yang digunakan serta meningkatkan keefisienan sektor pengilang di seluruh dunia.

Selain itu, teknologi ini mampu dimanfaatkan oleh sektor perubatan terutamanya dalam pembedahan tulang belakang dan tulang pinggul. Ini dengan meminimumkan geseran pada permukaan dan sendi tulang yang dapat memastikan tulang berfungsi dalam keadaan terbaik.

Hasil daripada pembentangan beliau yang memancarkan kecemerlangan akademik dan mutu kajian yang tinggi itu, Menteri Perindustrian Britain, Brian Edden menawarkan Najmil peluang seumur hidup untuk membentangkan hasil kajian Najmil di House of Common.

Tandatangan MoU

Selesai slot motivasi, program diteruskan dengan majlis menandatangani MoU antara pihak sekolah yang diwakili Guru Besar dengan YBhg. Dato Dr Najmil selaku 'IKON INSPIRASI KEJAYAAN SKPBB'.

Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati serta insentif kepada murid tahun 6 yang berjaya dalam peperiksaan percubaan UPSR dan ujian tambah nilai yang diadakan baru-baru ini.

VIDEO MAJLIS MENANDATANGANI MOU "DR NAJMIL, IKON INSPIRASI KEJAYAAN SKPBB"



No comments

Powered by Blogger.