Header Ads

header ad

Sejarah Sekolah

PENDAHULUAN :
Sekolah ini adalah salah sebuah sekolah pusat yang pertama didirikan dalam Persekutuan Tanah Melayu. Ianya diasaskan oleh Ketua Pegawai Pelajaran Terengganu dengan daya usaha yang kuat daripada En. Abd. Kadir bin Haji Hashim, P.J.K. Pembantu Pengelola Sekolah-sekolah Kebangsaan pada masa itu. Bangunan sekolah siap dan mula digunakan pada 21 .MEI 1960 dan dibuka dengan rasminya pada 1 JULAI 1960.

TUJUAN :
Dengan tujuan hendak memberi pelajaran yang lebih sempurna dan memajukan murid-murid yang baik dalam pelajarannya dalam daerah Kuala Terengganu di suatu tempat, maka terdirilah sekolah pusat ini. Selain daripada itu, dengan harapan supaya lebih ramai lagi murid yang pandai akan meningkat ke sekolah menengah ( Pada masa itu dikenakan peperiksaan untuk masuk ke sekolah menengah ).

KAWASAN :
Sekolah ini terletak di tepi Jalan Pasir Panjang berhampiran dengan Bukit Besar. Jarak dari bandar Kuala Terengganu lebih kurang 3 KM. Tanah kawasan sekolah ini di atas Lot. No. 3208 Mukim Bukit Besar seluas 3.2 ekar.

BANGUNAN :
Di atas tanah tersebut didirikan dua blok bangunan batu selapis dengan 10 buah bilik darjah setiap bangunan berukuran 30 X 24 kaki. Sebuah bangunan tandas pam mempunyai sebuah bilik untuk murid-murid perempuan, sebuah bilik untuk murid-murid lelaki, sebuah bilik untuk guru lelaki dan sebuah bilik untuk guru perempuan. Sebuah Kantin juga didirikan, kemudian dalam tahun 1963 sebuah setor didirikan iaitu sambungan bangunan bilik darjah sepanjang 10 kaki lagi. Bangunan permulaan kecuali kantin. Kantin dibina oleh Meng Huat Co. dengan peruntukkan sebanyak RM72,000.00. Bangunan sekolah ini adalah bangunan yang termoden sekali bagi sekolah -sekolah kebangsaan dalam Negeri Terengganu pada masa itu. Sebuah daripada bilik-bilik darjah dijadikan Pejabat sekolah dengan bilik Guru Besar dan sebuah lagi bilik guru.

ASALNYA :
Rancangan asal tapak bangunan ini adalah untuk sebuah sekolah rendah bahasa pengantarnya Inggeris. Ini terbukti dengan apa yang tertulis pada pelan asal tanah dan bangunan sekolah ini iaitu : SIDE PLAN FOR SULTAN SULAIMAN ENGLISH SCHOOL BUKIT BESAR, KUALA TERENGGANU.

DASAR :
Murid-murid yang cemerlang dari darjah 4,5 dan 6 dalam sekolah-sekolah daerah Kuala Terengganu ditempatkan di sekolah ini. Satu peperiksaan diadakan untuk memilih murid-murid tersebut oleh Jabatan Pelajaran Terengganu. Pada 1965 dasar ini dihapuskan kerana tidak tercatat dalam Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib. Keistimewaan sekolah ini tiada lagi. Dalam Pertengahan penggal pertama 1965, sekolah ini mula menerima murid-murid darjah 1,2 dan 3 dari SK .Gong Kapas.

MURID-MURID :
Pada hari pertama dibuka (21 MEI 1960 - melalui peperiksaan ) Darjah 4 - 122 orang, Darjah 5- 129 org dan Darjah 6-110 orang. Semua murid ini terdiri dari sekolah -sekolah yang terletak dalam bandar Kuala Terengganu. seperti : SK.Paya Bunga,SK.Ladang,SK.TAM, SK. Bukit Jambul, SK.Duyong,SK.Gong Kapas dan SK. Pasir Panjang. Pada 1965 keramaian murid di sekolah ini mencapai angka 859 orang. Kemasukan murid ke sekolah ini mulai merosot dalam tahun 1968 hinggalah pada tahun 1971 cuma seramai 386 orang sahaja. Pada tahun 2007 jumlah murid seramai 527orang.

KEGEMILANGAN SKPBB
Sekolah ini telah menempa pelbagai sejarah di era kegemilangannya, sama ada di peringkat zon, daerah, negeri mahupun kebangsaan.. Pencapaian yang diraih adalah berkat usaha gigih serta kerjasama mutlak semua pihak terutamanya guru-guru dan kakitangan dengan sokongan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG ) sekolah ini.
Sekolah SKPBB juga telah melahirkan dua orang jaguh dunia Formula Future bermula 2005. Kejayaan pelajar ini telah melonjakkan nama SKPBB di persada sukan tanahair.
SKPBB juga pernah menjadi pilihan dua orang anakanda Kebawah DYMM Al-Sultan Terengganu iaitu DYTM Tengku Mohamad Ismail dan YTM Tengku Nur Nadhirah. Pilihan baginda sekaligus menjadikan SKPBB terkenal. DYMM Sultanah Terengganu juga telah perkenan menjadikan SKPBB satu-satunya sekolah naungan Baginda.
Dalam bidang pendidikan, pencapaian sekolah ini juga tidak kurang hebatnya sebagaimana sekolah lain di sekitar. Pencapaian UPSR sentiasa menunjukkan graf menaik. Walaupun pencapaian UPSR 2012 hanya seramai 12 orang murid berjaya mendapat 5A, namun ianya tetap pencapaian yang baik.  Namun begitu, UPSR 2013 terus menjadikan SKPBB gemilang bila seramai 19 orang murid berjaya mendapat 5A dan GPS yang diperolehi juga begitu membanggakan iaitu 1.63. Diharapkan, berkat kerjasama erat semua guru dan kakitangan dapat melonjakkan nama sekolah ini sebaris dengan sekolah-sekolah yang lebih cemerlang dan seterusnya memartabatkan nama SKPBB di peringkat nasional.


Pada Tahun 2008, SKPBB mulai berubah wajah. Pembinaan 2 blok bangunan sekolah telah menyemarakkan lagi nama SKPBB. Pada 2009, SKPBB mulai menggunakan bangunan baru. Kini, SKPBB berwajah baru. Pembinaan surau di bahagian hadapan sekolah telah menjadikan SKPBB nampak lebih gah di pandangan masyarakat. Ini sedikit sebanyak telah membuatkan SKPBB menjadi tumpuan ibubapa untuk persekolahan anak-anak mereka. SKPBB semakin gemilang. Pencapaian pelajar dalam bidang akademik dan kokurikulum semakin menyerlah. Makin ramai pelajar dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah terpilih. Alhamdulillah. SKPBB makin cantik, cemerlang, gemilang dan terbilang.
Pada 2011, SKPBB telah terpilih sebagai sekolah rintis untuk program i-THINK

No comments

Powered by Blogger.